Simptom Umum Batu Karang

January 12th, 2012

Assalamualaikum pembaca sekalian,

spacer Batu karang berlaku apabila bahan kimia yang terdapat di dalam badan berkumpul dan membentuk batu. Batu karang boleh wujud di dalam buah pinggang secara tidak membahayakan atau ia boleh keluar melalui saluran kencing. Jika batu tersebut besar, ianya boleh menyebabkan kesakitan dan sekiranya kecil, batu tersebut boleh keluar tanpa disedari.

Jadi, bagaimana anda boleh mengetahui yang anda mempunyai batu karang? Mengikut ‘American Kidney Fund’ ,gejala yang paling biasa bagi pengidap batu karang ialah kesakitan yang melampau. Namun, ada juga simptom batu karang yang lain yang saya kongsikan di bawah ini.

Rasa Sakit

Tanda pertama penyakit batu karang ialah kesakitan yang serius, khususnya di bahagian belakang dan tepi badan anda, di mana rasa sakitnya tidak akan hilang. Ini berlaku apabila saluran kencing anda menjadi tegang kerana batu tersebut telah menyekat laluan saluran kencing. Kemungkinan penyakit batu karang akan dimulai dengan rasa kekejangan kemudian diikuti dengan rasa sakit yang amat sangat.

Loya Dan Muntah

Selalunya penyakit batu karang akan menjadi bertambah teruk dan ini akan menyebabkan pengidapnya mengalami loya dan muntah.

Darah Dalam Urin

Adakalanya anda akan melihat darah di dalam air kencing. Ini kerana apabila batu karang melalui saluran kencing, ia akan mencederakan saluran tersebut.

Kencing Dengan Kerap

Apabila saluran kencing mengalami keradangan, ia boleh menyebabkan anda terasa kerap untuk pergi membuang air kencing.

Demam Dan Menggigil

Kerengsaan akibat dari batu karang akan menyebabkan berlakunya jangkitan. Jika ini berlaku, akibatnya anda akan mengalami demam dan menggigil.

Diagnosis

Hanya doktor sahaja yang boleh mendiagnosis masalah batu karang anda. Antara ujian yang akan anda lakukan ialah pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing dan x-ray.

==============================
Sumber : Common Kidney Stone Symptoms
==============================

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis
:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.

spacer

Tags: batu ginjal, batu karang
Posted in Penyakit Batu Karang | No Comments »

Simptom Batu Karang

January 5th, 2012

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Batu karang terhasil daripada mendapan-mendapan kecil mineral yang membentuk batu-batu keras di dalam buah pinggang. Batu karang terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan yang berlaku di dalam air kencing, sebagai sebatian seperti urik asid dan kalsium yang terkumpul dan mula mendap. Simptom batu karang tidak akan dirasai sehingga batu tersebut bergerak ke dalam tiub yang menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing, seterusnya saluran kencing dan mula bergerak melaluinya. Proses ini, yang dikenali sebagai “pengeluaran batu,” menghasilkan gejala yang amat menyakitkan. Dan kemungkinan akan menyebabkan berlakunya kencing berdarah.

Kesakitan

Simptom batu karang yang pertama berlaku dalam kebanyakan kes, ialah kesakitan yang amat sangat apabila batu karang bergerak ke dalam saluran kencing. Kesakitan adalah disebabkan oleh otot-otot di dinding saluran kencing berusaha untuk menolak batu melalui pundi kencing.

Tempat Sakit

Kesakitan akan mula dirasai yang berpunca dari batu karang ialah berlaku kekejangan dan ianya sangat mendadak. Kesakitan akan terasa hingga ke seluruh bahagian buah pinggang dan bahagian belakang. Sakit juga boleh merebak ke bahagian bawah abdomen dan bahagian sulit.

Kesakitan yang dirasai akibat batu karang adalah berbeza-beza. Ianya akan lebih teruk pada kanak-kanak di bawah umur di mana kesakitannya akan dirasai sepanjang masa. Kebiasaannya kesakitan itu alan datang dalam 20 minit ke satu jam yang terakhir.

Muntah

Selain dari rasa sakit, anda juga mungkin akan mengalami muntah dan loya. Jika berlakunya jangkitan, demam pada suhu yang rendah dan kesejukan kemungkinan akan berlaku.

Kesan Pada Air Kencing

Simptom batu karang yang lain ialah warna air kencing bertukar menjadi keruh dan berbau. Disamping itu anda juga akan mengeluarkan kencing berdarah. Mereka yang mempunyai batu karang juga selalunya akan kerap terasa untuk membuang air kencing.

Komplikasi

Apabila buah pinggang anda terhalang oleh batu karang, ia akan menyebabkan berlakunya komplikasi. Ini berlaku apabila air kencing tertahan dan berpatah balik ke pundi kencing dan akan menyebabkan toksin yang terkandung di dalam air kencing merosakkan buah pinggang.

==================================
Sumber rujukan: About Kidney Stone Symptoms
==================================

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis
:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.

 

 

spacer

Tags: batu dalam buah pinggang, batu ginjal, batu karang, penyakit batu karang
Posted in Penjagaan Buah Pinggang, Penyakit Batu Karang | 4 Comments »

Kumpulan Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang

December 20th, 2011

Assalamualaikum pembaca sekalian,

spacer Pada bulan November 2008, Jurnal Persatuan Perubatan Amerika melaporkan bahawa 13 peratus rakyat dewasa Amerika yang berjumlah kira-kira 26 juta orang  mempunyai penyakit buah pinggang kronik. Buah pinggang atau penyakit buah pinggang berlaku apabila kemerosotan fungsi buah pinggang seseorang. Bahan buangan di dalam badan mengambil masa yang lama untuk dikeluarkan. Mengekalkan diet khas boleh membantu melambatkan proses penyakit buah pinggang dengan cara membantu mengurangkan beban dalam menjalankan fungsinya.

Protin

 

spacer Protin adalah nutrien yang diperlukan. Ia membantu tubuh kita melawan jangkitan, menyembuhkan badan daripada kecederaan dan pendarahan. Apabila anda mempunyai penyakit buah pinggang, anda masih memerlukan protein tetapi jumlah yang lebih terkawal. Kebanyakan pesakit buah pinggang perlu menghadkan pengambilan protin kerana buah pinggang mereka tidak dapat menapis terlalu banyak sisa protein. Tetapi ia juga bergantung kepada saiz badan dan tahap penyakit buah pinggang anda. Terlalu sedikit mengambil sumber protin boleh menyebabkan kekurangan zat makanan. Oleh itu adalah penting untuk anda berbincang dengan pakar buah pinggang dan pakar pemakanan sebelum mengehadkan pengambilan protin.

Sodium

spacer Penyakit buah pinggang menyebabkan kesukaran untuk menghapuskan garam dan cecair yang berlebihan dari badan. Ia juga mungkin disebabkan oleh kencing manis atau tekanan darah tinggi. Untuk mengawal tekanan darah dan kencing manis, adalah penting untuk mengambil garam yang cukup untuk mencegah dehidrasi tetapi tidak terlalu banyak hingga ia menyebabkan tekanan darah anda meningkat. Untuk pesakit buah pinggang, mengurangkan jumlah sodium dalam diet akan membantu mengawal tekanan darah dan mencegah bahan buangan dan cecair berkumpul di dalam badan. Kurangkan pengambilan makanan yang diproses kerana ianya mengandungi jumlah sodium yang tinggi. Ini menyebabkan anda mengambil sodium dalam jumlah yang banyak. Dan di sinilah di mana pakar diet anda boleh membantu.

Potassium

Potassium merupakan bahan mineral yang mengawal otot dan fungsi saraf di dalam badan. Satu otot besar dan penting berfungsi dengan baik kerana potassium, iaitu jantung. Buah pinggang yang sihat akan memastikan kadar potassium sentiasa normal dan akan mengeluarkan jumlah yang berlebihan. Buah pinggang yang mempunyai masalah tidak dapat mengekalkan kadar potassium yang seimbang. Jika kadar potassium anda adalah terlalu rendah atau terlalu tinggi, ia boleh membahayakan. Oleh itu, berundinglah dengan pakar pemakanan buah pinggang anda tentang diet dengan jumlah potassium yang betul untuk anda.

Fosforus

Fosforus adalah sejenis mineral. Hampir 85 peratus daripada jumlah fosforus di dalam badan berada dalam tulang anda. Fosforus secara semula jadi boleh didapati dalam banyak makanan, jadi anda tidak mempunyai apa-apa masalah mendapatkan fosforus dalam diet yang sihat. Buah pinggang yang tidak sihat tidak lagi mampu untuk membuang fosforus dari darah dan menyingkirkan lebihan dalam air kencing. Ini boleh menimbulkan masalah terutamanya mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang peringkat empat atau lima. Untuk memastikan tahap fosforus anda dalam lingkungan yang sihat, pesakit buah pinggang digalakkan untuk mengurangkan pengambilan fosforus mereka. Fakta pemakanan pada label makanan selalunya tidak memberikan maklumat yang tepat tentang kandungan fosforus. Dapatkan nasihat pakar diet buah pinggang anda tentang jenis makanan yang perlu digantikan atau dielakkan. Dapatkan ebook percuma tentang panduan pengambilan fosforus di sini.

Sentiasa merujuk kepada doktor anda

Jumlah protin, garam, potassium dan lain-lain bergantung kepada peringkat fungsi buah pinggang anda. Pastikan untuk berunding dengan doktor dan pakar pemakanan anda yang pakar dalam penjagaan buah pinggang sebelum menukar diet atau mengambil sebarang makanan tambahan.

========================
Sumber : Food groups for kidney patients
========================

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis
:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.

spacer

Tags: diet sihat, diet untuk diebetis, diet untuk hemodialisis, tip dan petua, tip kesihatan, tip untuk kesihatan buah pinggang
Posted in Diet Buah Pinggang, Panduan Diet, Tip & Petua | 2 Comments »

Diabetis & Penyakit Buah Pinggang

December 19th, 2011

Assalamualaikum pembaca sekalian,

spacer Diabetis mellitus, biasanya dikenali sebagai kencing manis, merupakan satu penyakit di mana badan anda tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup atau tidak boleh menggunakan jumlah normal insulin dengan betul. Insulin adalah sejenis hormon yang mengawal jumlah gula di dalam darah anda. Paras gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan pelbagai masalah di bahagian  badan anda.

Adakah terdapat perbezaan jenis penyakit diabetis?

Kebiasaannya terdapat diabetis jenis 1 dan 2. Diabetes jenis 1 biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak. Ia juga dikenali sebagai kencing manis permulaan juvana atau kencing manis yang bergantung kepada insulin. Diabetis jenis ini akan menyebabkan pankreas anda tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup dan anda perlu mengambil suntikan insulin untuk sepanjang hayat anda.

Diabetes jenis 2 pula biasanya berlaku pada mereka yang berumur lebih dari 40 tahun dan dikenali sebagai kencing manis permulaan dewasa. Ia juga dikenali sebagai kencing manis yang bergantung kepada bukan insulin. Untuk diabetis jenis 2, pankreas masih mampu untuk menghasilkan insulin, tetapi badan anda tidak menggunakannya dengan betul. Paras gula di dalam darah akan tinggi dan selalunya boleh dikawal dengan mengikuti diet dan/ atau mengambil ubat-ubatan, walaupun sesetengah pesakit perlu mengambil insulin.

Apakah akibat terhadap buah pinggang yang disebabkan oleh diabetis?

Kencing manis akan menyebabkan saluran darah kecil di dalam badan mengalami kecederaan. Apabila saluran darah di dalam buah pinggang tercedera, buah pinggang tidak dapat membersihkan darah dengan betul. Badan akan menyimpan lebih banyak air dan garam daripada yang sepatutnya, yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan dan bengkak pada buku lali. Kemungkinan juga di dalam air kencing anda akan wujudnya kandungan protin. Selain itu, bahan-bahan buangan akan berkumpul di dalam darah anda.

Diabetes juga boleh menyebabkan kerosakan saraf di dalam badan. Ini boleh menyebabkan kesukaran untuk mengosongkan pundi kencing anda. Akibat tekanan yang terhasil dari pundi kencing yang penuh akan menyebabkan air kencing naik semula dan mencederakan buah pinggang. Selain itu juga, jika air kencing berada dalam pundi kencing untuk jangka masa yang lama, ianya akan menyebabkan berlakunya jangkitan bakteria dalam air kencing yang mempunyai paras gula yang tinggi.

Berapa ramai pesakit diabetis akan mengalami penyakit buah pinggang?

Kira-kira 30 peratus daripada pesakit diabetis jenis  1 (permulaan juvana) dan 10 hingga 40 peratus daripada mereka yang mempunyai penyakit diabetis jenis 2 (permulaan dewasa) akhirnya akan mengalami kegagalan buah pinggang.

Apakah tanda-tanda awal penyakit buah pinggang pada pesakit diabetes?

Tanda awal penyakit buah pinggang disebabkan diabetes ialah meningkatnya sisa buangan dari albumin dalam air kencing. Sisa buangan ini boleh wujud lebih dahulu sebelum ujian biasa bagi mengesan penyakit buah pinggang dijalankan ke atas anda. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda menjalani ujian ini setiap tahun. Penambahan berat badan dan bengkak pada buku lali juga boleh berlaku. Selain itu anda juga akan lebih kerap untuk membuang air kecil terutamanya pada waktu malam. Tekanan darah akan menjadi terlalu tinggi. Sebagai penghidap diabetes, anda perlu melakukan ujian tekanan darah, air kencing dan pemeriksaan darah sekurang-kurangnya sekali setahun. Ini akan membolehkan kawalan penyakit dan rawatan awal tekanan darah tinggi serta penyakit buah pinggang anda dilakukan dengan lebih baik. Mengekalkan kawalan terhadap penyakit diabetes boleh mengurangkan risiko anda mendapat penyakit buah pinggang yang teruk.

Apakah tanda-tanda akhir penyakit buah pinggang bagi pesakit diabetis?

Apabila buah pinggang anda gagal, tahap blood urea nitrogen (Bun) atau nitrogen urea darah akan naik bersama dengan tahap kreatinin di dalam darah anda. Anda juga mungkin mengalami rasa loya, muntah-muntah, hilang selera makan, lemah, keletihan meningkat, gatal-gatal, kekejangan otot (terutama pada kaki anda) dan anemia. Anda mungkin mendapati yang anda kurang memerlukan insulin. Ini adalah kerana penyakit buah pinggang menyebabkan kurang penghasilan insulin. Jika anda mengalami sebarang tanda-tanda ini, sila hubungi doktor anda.

JADUAL 1

Tanda-tanda penyakit buah pinggang bagi pesakit diabetis

  •     Albumin / protein dalam air kencing
  •     Tekanan darah tinggi
  •     Bengkak buku lali dan kaki, kejang kaki
  •     Pergi ke bilik mandi lebih kerap terutamanya pada waktu malam
  •     Tahap Bun dan kreatinin yang tinggi dalam darah
  •     Kurang keperluan untuk insulin atau ubat-ubatan antidiabetic
  •     Demam di waktu pagi, loya dan muntah
  •     Lemah, pucat dan anemia
  •     gatal-gatal

Apa yang akan berlaku jika buah pinggang saya telah rosak?

Pertama, doktor perlu memastikan apakah penyakit diabetes anda telah menyebabkan kecederaan. Penyakit-penyakit lain boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Buah pinggang anda akan bekerja lebih baik dan tahan lebih lama jika anda:

  •     Mengawal kencing manis anda
  •     Mengawal tekanan darah tinggi
  •     Dapatkan rawatan untuk jangkitan saluran kencing
  •     Membetulkan apa-apa masalah di dalam sistem kencing anda
  •     Mengelakkan pengambilan ubat-ubatan yang boleh merosakkan buah pinggang (terutamanya ubat penahan sakit)

Jika tiada masalah-masalah lain yang dijumpai, doktor akan cuba menjaga buah pinggang anda  untuk terus berfungsi seberapa lama yang boleh. Penggunaan ubat tekanan darah tinggi yang dipanggil angiotensin converting enzyme (ACE) inhibitors telah terbukti dapat membantu melambatkan kehilangan fungsi buah pinggang.

Bagaimana memastikan buah pinggang terus berfungsi seberapa lama yang boleh?

Doktor buah pinggang, yang dipanggil nefrologi, akan merangka satu pelan bersama dengan anda, keluarga anda dan pakar diet anda. Dua perkara yang perlu diingat untuk menjaga buah pinggang anda agar sentiasa sihat ialah mengawal tekanan darah tinggi bersama-sama dengan ACE dan pemakanan yang disyorkan untuk buah pinggang anda. Menghadkan pengambilan protein dalam diet anda juga mungkin dapat membantu. Anda dan pakar diet anda boleh merancang diet anda bersama-sama.

Apakah kegagalan peringkat akhir buah pinggang pada pesakit diabetes?

Peringkat akhir kegagalan buah pinggang berlaku apabila buah pinggang anda tidak lagi mampu menyokong anda untuk hidup dalam keadaan yang sihat, dan dialisis atau pemindahan buah pinggang diperlukan. Ini berlaku apabila buah pinggang anda berfungsi pada hanya 10 hingga 15 peratus. Biasanya jangka masa di antara bermulanya kecederaan buah pinggang disebabkan diabetes dan kegagalan buah pinggang kira-kira 5-7 tahun.

Bagaimana kegagalan buah pinggang dirawat di kalangan pesakit kencing manis?

Tiga jenis rawatan boleh digunakan apabila buah pinggang anda gagal iaitu:

  • pemindahan buah pinggang
  • hemodialisis
  • dialisis peritoneal

Bolehkah pesakit diabetes melakukan pemindahan buah pinggang?

Ya. Setelah anda mendapatkan buah pinggang baru, anda mungkin memerlukan dos insulin yang lebih tinggi. Selera makan anda akan bertambah baik dan buah pinggang anda akan mengurangkan dos insulin lebih baik daripada buah pinggang yang telah rosak. Anda juga pelu mengambil steroid untuk menjaga tubuh dari menolak buah pinggang baru. Jika buah pinggang anda gagal, rawatan dialisis boleh dimulakan sementara anda menunggu buah pinggang yang lain.

Bagaimana pula dengan pemindahan pankreas?

Kadang-kadang ianya tidak mustahil untuk melakukan pemindahan pankreas bersama-sama dengan pemindahan buah pinggang. Doktor akan memberikan nasihat mengenai kemungkinan ini.

Bagaimana pula dengan diet yang rendah protein?

Kajian menunjukkan bahawa diet rendah protein boleh melambatkan proses berlakunya kerosakan buah pinggang.

Apakah harapan masa depan bagi pesakit diabetis?

Hari ini telah banyak kajian demi kajian telah dilakukan untuk mengkaji penyakit diabetis. Harapan kita agar di masa depan kajian tersebut akan dapat mengubati dan mencegah penyakit diabetis. Pada masa yang sama, anda boleh mengawal penyakit diabetis dengan cara:

  • Melakukan pamantauan di rumah terhadap paras glukos dalam darah anda
  • Mengekalkan kesedaran untuk mengawal tekana darah anda, mungkin juga dengan melakukan pemantauan di rumah
  • Sentiasa mengikuti diet khusus anda

==========================
Sumber : Diabetes & Kidney Disease
==========================

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis
:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.

spacer

Tags: Diabetis, diabetis insipidus, diabetis mellitus, dialisis, dialysis, diet untuk diebetis, peritoneal dialisis
Posted in Diabetis, kencing manis, Kesihatan Buah Pinggang, Penjagaan Buah Pinggang, Penyakit Buah Pinggang, Rawatan Buah Pinggang | 2 Comments »

Punca Tahap Potassium Darah Tinggi

December 17th, 2011

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Kadar potassium darah tinggi, juga dikenali sebagai hyperkalemia, adalah perkara biasa di Amerika Syarikat. Kadar potassium darah yang sedikit tinggi biasanya tidaklah membahayakan, namun ia masih perlu dirawat supaya tidak menjadi teruk. Tahap potassium darah tinggi boleh menyebabkan keletihan otot, loya, lemah, denyutan jantung yang tidak normal dan lumpuh. Tahap potassium darah yang teruk boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian. Potassium merupakan bahan mineral yang diperlukan untuk jantung, otot dan saraf untuk berfungsi dengan sempurna. Tahap potassium dalam darah yang tinggi boleh disebabkan oleh beberapa perkara seperti ubat-ubatan tertentu, penyakit kelenjar adrenal dan buah pinggang tidak berfungsi.

Buah Pinggang Tidak Berfungsi

Buah pinggang tidak berfungsi boleh menyebabkan tahap potassium darah menjadi tinggi. Oleh kerana potassium ditapis oleh buah pinggang, kadar potassium akan berkumpul apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan betul, menyebabkan kadar potassium darah tinggi. Jenis buah pinggang tidak berfungsi termasuklah kegagalan buah pinggang kronik dan akut, penolakan pada buah pinggang baru, lupus nefritis dan glomerulonefritis. Penyakit obstruktif yang memberi kesan kepada saluran kencing, seperti urolithiasis, juga boleh menyebabkan tahap potassium darah menjadi tinggi.

Ubat-Ubatan

Ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan tahap kalium darah tinggi. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan betul, ubat-ubatan ini boleh menyebabkan tahap potassium dalam darah meningkat dengan lebih banyak lagi. Beberapa ubat-ubatan yang boleh menyebabkan tahap potassium darah tinggi termasuk ubat diuretik pengganti potassium, penyekat ACE, penghalang reseptor angiotensin II dan ubat-ubatan anti-radang yang bukan steroid.

Luka Atau kecederaan Terbakar Yang Teruk

Kebakaran atau kecederaan yang teruk boleh menyebabkan tahap potassium dalam darah menjadi tinggi. Apabila seseorang mengalami jenis trauma, sel darah merah dimusnahkan. Pemusnahan sel-sel ini boleh menyebabkan tahap potassium darah menjadi tinggi.

Penyalahgunaan Alkohol atau Dadah

Penyalahgunaan alkohol dan dadah boleh menyebabkan tahap potassium darah menjadi tinggi. Apabila seseorang menyalahgunakan alkohol atau dadah, serat otot mereka akan rosak. Apabila telah rosak, potassium dilepaskan ke dalam aliran darah menyebabkan tahap potassium darah tinggi.

Penyakit Kelenjar Adrenal

Penyakit kelenjar adrenal boleh menyebabkan tahap potassium darah tinggi. Penyakit kelenjar adrenal yang boleh menyebabkan tahap potassium darah tinggi termasuk sindrom Cushing dan penyakit Addison. Sindrom Cushing menghasilkan kortisol yang terlalu banyak dan penyakit Addison tidak menghasilkan kortisol yang cukup. Dengan pengeluaran kortisol yang tidak seimbang ini, tahap potassium darah menjadi tinggi boleh berlaku.

=======================================
Sumber artikel : Causes of High Blood Potassium Levels
=======================================

Perhatian: Informasi ini hanyalah sebagai panduan umum dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat profesional.


Tentang penulis
:
Abdullah Idris merupakan pengasas blog kesihatan ini. Dapatkan update terkini melalui facebook atau twitter. Atau langgan artikel terkini yang mengandungi tip & panduan penting untuk kesihatan buah pinggang melalui emel.

spacer

Tags: kanser, punca kegagalan buah pinggang, punca potassium tinggi, punca rosak buah pinggang, sel kanser
Posted in Kesihatan Buah Pinggang, Penjagaan Buah Pinggang, Umum | No Comments »

« Older Entries
gipoco.com is neither affiliated with the authors of this page nor responsible for its contents. This is a safe-cache copy of the original web site.